NADI di bawah Bajet 2013 merupakan satu program di mana pihak SKMM akan menyediakan capaian internet jalur lebar secara kolektif di 100 buah kawasan Program Perumahan Rakyat terutamanya di bandar-bandar besar terpilih di seluruh negara.Program ini akan dibiayai dari dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (Universal Service Provision) selama 3 tahun.Pelaksanaan adalah secara berperingkat mulai tahun 2013.
Pemilihan lokasi Pusat Internet adalah berdasarkan kepada tinjauan dan lawatan tapak mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh SKMM dengan kerjasama agensi Kerajaan pusat dan negeri yang berkaitan.Perlantikan pemberi perkhidmatan bagi melaksanakan Pusat Internet adalah melalui proses tender terbuka kepada pemegang-pemegang lesen di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM 1998).
Perkhidmatan yang disediakan adalah capaian internet jalur lebar berkelajuan tinggi, perkhidmatan Wi-Fi bagi capaian penduduk sekitar, kemudahan IT terkini seperti 20 buah komputer dan perisian, perkhidmatan faks, pencetak, program latihan ICT dan pembangunan modal insan dan aktiviti berkaitan yang akan diuruskan oleh pengurus dan pembantu pengurus.
Penggunaan NADI adalah terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia.Pengguna digalakkan untuk mendaftar sebagai ahli NADI bagi menikmati kadar yang lebih murah bagi setiap kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan.Tiada bayaran akan dikenakan ke atas setiap program latihan yang disediakan.
Setiap penggunaan komputer Pusat Internet adalah dipantau oleh Sistem Pemantauan Berpusat dan pengurus bagi memastikan tiada sebarang penyalahgunaan. Selain itu, terdapat juga kempen kesedaran dan panduan penggunaan internet kepada pengguna.